Sunday, August 30, 2009

Salam Kemerdekaan Malaysia ke-52! MERDEKA!!!


Esok sekali lagi kita akan menyambut hari bersejarah bagi negara kita. Hari yang menjadi tanda kebebasan negara kita daripada penjajahan selepas hampir 500tahun dibawah cengkaman penjajah.

Pada pertengahan 1950-an, sekumpulan pemimpin negara diketuai Tunku Abdul Rahman telah menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Setelah itu, tercapailah kemerdekaan Tanah Melayu pada hari berserjarah ini -31 Ogos 1957-.

Pasca merdeka mengajar kita untuk ke arah berkerajaan sendiri dan memimpin negara kita dengan acuan sendiri selepas berkurun lamanya kita dijajah bangsa asing. Kerajaan yang pada awalnya dibentuk mempunyai beberapa kelemahan dek kerana kekurangan pengalaman. Di tambah dengan acaman komunis, ketidakseimbangan ekonomi, rusuhan kaum dan macam-macam lagi. Ramai orang berkata bahawa Malaysia bagaikan retak menanti belah. Namun, sangkaan mereka meleset.

Selepas 5 dekad kita merdeka, kita menjadi antara negara yang paling maju. Kita disanjung tinggi di Asia Tenggara, kita dihormati di mata dunia. Berjaya membangunkan negara yang telah "dicuri" harta kekayaan buminya, namun mampu bangun menentang arus globalisasi dengan jayanya.

Apa formula rahsia yang kita guna? Banyak negara tertanya-tanya. Jawapannya ialah faktor perpaduan berbilang kaum. Jika banyak negara menganggap berbilang kaum sebagai liabiliti, di Malaysia, ia adalah aset yang menjadi kekuatan negara kita ke hari ini. Kita raikan kemajmukan kaum sebagai faktor kekuatan, bukannya kelemahan.

Namun, terdapat segolongan masyarakat cuba untuk melakukan huru-hara. Semua ini bertunjangkan agenda sendiri. Menggunakan pentas politik, agama, bangsa untuk memecah belahkan kaum dan memporak perandakan keharmonian yang sering kita sanjung dan junjung dinegara kita.

Tembok dan jambatan keharmonian yang dibina oleh pemimpin masa lalu perlu dikekalkan. Bukan dimusnahkan. Bukan mudah tembok dan jambatan keharmonian itu terbina. Kita perlu bajai dan pupuk nilai-nilai yang baik keatas keharmonian itu.. Kita perlu kekalkan jambatan dan tembok keharmonian itu.

"Kenapa perlu kekalkan? Biarlah ia berubah mengikut arus globalisasi". Mungkin ramai yang akan kata begini dan menyifatkan kita adalah kuno kerana nak berpegang kepada benda-benda lama. Kontrak sosial lah, bahasa melayu lah dan lain-lain. Namun sejarah dunia telah menunjukkan bahawa jatuhnya sesebuah tamadun dan kerajaan bilamana leka dan lalai dalam mengekalkan keharmonian disamping ada makhluk-makhluk durjana yang terlampau bernafsu utk memenuhi keinginan sendiri. Negara diketepikan begitu sahaja. Perlu kita tahu, apa yang kita ada pada hari ini bukannya mudah untuk dikecapi. Bak kata pepatah, "pipih tak kan datang melayang, bulat tak kan datang bergolek". Kita kecapi semua hari ini selepas beribu-ribu nyawa melayang, berjuta-juta tangisan air mata mengalir, selepas bertungkus lumus pemimpin kita kehulu kehilir utk mendapatkan kemerdekaan. Kita generasi muda dan generasi masa hadapan perlu mengekalkan ini semua!

Para wira-wirawati negara, para pendidik, warga korporat, usahawan, dan pada semua yang menjayakan Malaysia sebagai negara yang maju, andalah yang mencipta kemakmuran di negara ini.

Sepanjang 5dekad kita menjadi negara yang bebas, banyak peristiwa dilalui dalam mencapai kemakmuran dan keamanan. Daripada ancaman komunis bintang tiga, beralih pula kepada krisis hubungan kaum 13Mei1968. Diteruskan lagi dengan kemelesetan ekonomi dunia tahun 80-an, diikuti dengan krisis kewangan 1998, semua ini kita berjaya atasi dengan jayanya. Kita negara terbilang. Diharap, hari esok lebih baik daripada hari ini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

p/s: sambutan tahun nie kurang meriah dek kerana kesibukan menjalani ibadah puasa dan dibayangi populariti pandemik H1N1.

No comments: